Sering kedengaran di corong radio IKIM.Fm, sangat menyentuh hati dan 
memberi inspirasi. Melihat kehidupan dalam satu perspekstif yang 
pelbagai dan matlamat sebenar kehidupan. Sajak berjudul Kita Bina Hidup 
Ini.
Kita bina hidup ini
dengan kecukupan bukan dengan kelebihan
dengan kejayaan bukan dengan kecemerlangan
 dengan kemudahan bukan dengan kesenangan
 dengan keperluan bukan dengan kemahuan
 dengan kebaikan bukan dengan kesempurnaan
 dengan kekayaan bukan dengan kemewahan
 dengan kesediaan bukan dengan ketahuan.
Kita bina hidup ini
bukan dengan manisnya janji 
tapi dengan pahitnya mengotakannya
bukan dengan indahnya kata 
tapi dengan sukarnya menyuarakannya
bukan dengan tingginya darjat 
tapi dengan payahnya memikulnya
bukan dengan banyaknya ilmu
tapi dengan kurangnya mendiamkannya
bukan dengan panjangnya nyawa 
tapi dengan pendeknya mensia-siakannya.
Kita bina hidup ini
dengan mimpi menjadi nyata 
bukan dengan nyata bertukar mimpi
dengan angan menjadi cita 
bukan dengan cita bertukar angan
dengan beri menjadi jujur 
bukan dengan jujur bertukar beri
dengan nokhtah menjadi langkah 
bukan dengan langkah bertukar nokhtah.
Kita bina hidup ini
Bukan untuk terus hidup 
Tapi untuk hidup seterusnya......
  
(Nukilan : Mustafa Shamsuddin, Amman Jordan
 Berita Minggu, 14 Feb 2010) 
SHIMI  
~ Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan ~
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~