| SHIMI |

Rabu, 21 November 2012

יום רביעי ללא מילים: זכור את הבטחת אלוהים


Wordless Wednesday : Janji Allah Akan Tiba





Kredit Ayat Al Quran dan Terjemahan


.       .       .       .       .       .       .       .

.

Isnin, 19 November 2012

Saat Cinta Itu Datang v2012





*Ulang siar* ~ dari coretan dahulu

“Saat cinta itu datang, aku tak mampu untuk berbuat apa-apa. Tidak juga merelakan tapi tidak juga menafikan kehadirannya,” patah-patah bicara Sa pada aku.

Berat benar ceritanya itu, di satu petang sebegitu di saat kami menghabiskan masa bersama dengan riadah. Dia telah punya segala kebahagiaan yang dia perlukan. Tidak perlu sebab untuk menerima cinta yang berputik. Ini bukan soal takdir dan waktu.

 
“Si dia juga seperti mereka yang lain, perlukan bimbingan dan dorongan. Perlu jiwa yang menyayangi dan perlu kekuatan dari kekuatan yang lain. Aku tak pernah mengambil kesempatan atas kelemahan mereka itu Shimi”, Sa menerangkan lagi.
 
“Tapi aku takut kau semakin jauh dari batas sedar diri kau Sa. Kehendak dan suara hati itu kadang-kadang tidak mampu dikawal. Ia tak semudah kita berkata-kata. Jangan bermain api, nanti kau terbakar diri”, kali ini aku mencelah dan beri penegasan.

“Senanglah kau berkata-kata seperti madah-madah indah dalam novel. Aku yang merasainya, aku yang mengalaminya. Aku tahu aku telah punya dia, tapi tiada niat untuk mengecewakan dan curang. Aku terperangkap dalam permainan yang aku cipta,” Sa melepaskan rasa tidak puas hatinya.

“Sa, aku kawan yang selalu kau luahkan perasaan susah senang. Aku tak mahu kau terbeban dengan perasaan sebegitu yang tidak menjanjikan apa-apa kepastian. Niat murni untuk menolong itu baik, tapi perlu ada batas dan prinsipnya. Pertolongan dan jatuh hati itu dua keadaan berbeza, hati tidak perlu hadir bersamanya. Jangan permainkan hati perempuan Sa. Jangan dilukai hati mereka”, perlahan nada tutur kata-kataku pada Sa.

Ia terhenti setakat itu kerana rintik hujan mencemburui riadah kami. Sa dan aku hanya tunduk diam di tempat berteduh sambil melayani perasaan masing-masing yang sarat. Seperti saratnya langit dengan awan hujan pada petang itu.
Hujan lewat petang itu, aku masih tunduk diam.



*Sambungan*

Belasan tahun aku pencilkan tempat ini dari kamus perjalanan hidup. Kini aku kembali berdiri di tebingan Hudson dan pokok oak yang masih gagah berdiri. Rakaman hidup terus berputar disebalik renungan melihat arus Sungai Hudson yang tenang mengalir.

Itu hari terakhir kami berada disitu sebelum masing-masing berangkat pergi. Aku dan Sa banyak berdiam. Melayan flora dan fauna pada hakikat zahirnya, tetapi penuh jiwa yang gelora.

"Hidup bukan kerana nafsu dan memenuhi keperluan diri semata-mata. Ada di dalamnya perasaan dan jiwa yang tidak dapat diungkapkan. Berbeza tidak semestinya aku tidak mungkin bersama dia, kerana kita sendiri tidak mampu menzahirkan apa yang akan berlaku seterusnya dalam hidup", kata penutup Sa pada saat perpisahan itu.

Aku diam mengiyakan. Aku faham benar perasaan kawan aku itu.

Kerana cinta, manusia boleh jadi apa saja. Magisnya yang tidak dapat dihalang meresap masuk dalam jiwa.  Membenarkan kata-kata puisi Jalaludin Rumi,

Kerana cinta duri menjadi mawar
kerana cinta cuka menjelma anggur segar
Kerana cinta keuntungan menjadi mahkota penawar
Kerana cinta kemalangan menjelma keberuntungan
Kerana cinta rumah penjara tampak bagaikan kedai mawar
Kerana cinta tompokan debu kelihatan seperti taman
Kerana cinta api yang berkobar-kobar
Jadi cahaya yang menyenangkan
Kerana cinta syaitan berubah menjadi bidadari
Kerana cinta batu yang keras
menjadi lembut bagaikan mentega
Kerana cinta duka menjadi riang gembira
Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat
Kerana cinta singa tak menakutkan seperti tikus
Kerana cinta sakit jadi sihat
Kerana cinta amarah berubah
menjadi keramah-ramahan

Berpeluk tubuh disebalik litupan long coat, sekali lagi setelah belasan tahun berlalu aku masih dapat rasakan rintik-rintik hujan disini. Dari dalam poket, aku keluarkan sekeping foto yang dikirimkan oleh Sa. Akulah yang menjadi jurufoto pada gambar tersebut. Saat indah Sa dan dia.

Dibelakangnya tercatat, " Aku tidak pasti bahawa aku patut pasrah atau redha. Aku tidak tahu sama ada aku ikhlas dengan cinta ini atau sekadar menyerah kepada suratan takdir. Pada-Nya aku serahkan dalam ketidakpastian aku patut berada dimana.."


Aku melangkah perlahan. Dalam diri ini aku belajar sesuatu.

Cinta itu tidak semestinya bersatu. Cinta tidak semestinya berakhir dengan keindahan. Punyai cinta tidak semestinya kamu punyai jasadnya. Cinta itu abadi yang tidak dapat dikongsi, bermula dari dalam hati diakhiri dengan mati....




.

Khamis, 15 November 2012

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Nikmat Allah itu terlalu banyak kepada kita,
terlalu luas untuk kita teroka,
menjadikan kita lebih kecil dari sebutir zarah...

Perhati, lihat, rasai nikmat di sekeliling kita
Moga ia mampu menjadikan kita hamba yang bersyukur......










Surah Ar-Rahman (55)


[1](Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.


[2]Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.


[3]Dia lah yang telah menciptakan manusia; -


[4]Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.


[5]Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;


[6]Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.


[7]Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,


[8]Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;


[9]Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.


[10]Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:


[11]Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;


[12]Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;


[13]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?


[14]Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,


[15]Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;


[16]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[17](Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.


[18]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[19]Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;


[20]Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;


[21]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[22]Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;


[23]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[24]Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;


[25]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[26]Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:


[27]Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:


[28]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[29]Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!


[30]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?


[31]Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!


[32]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[33]Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!


[34]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[35]Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);


[36]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[37]Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;


[38]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[39]Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);


[40]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[41]Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);


[42]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[43](Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya “.


[44]Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!


[45]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[46]Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, -


[47]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[48](Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; -


[49]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[50]Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; -


[51]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan.


[52]Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).


[53]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[54]Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.


[55]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[56]Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;


[57]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[58]Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.


[59]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[60]Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?


[61]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[62]Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua);


[63]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[64]Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;


[65]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[66]Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:


[67]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[68]Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,


[69]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[70]Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;


[71]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[72]Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;


[73]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[74](Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;


[75]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[76]Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.


[77]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


[78]Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.



Kredit terjemahan : Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu




.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...