| SHIMI |

Memaparkan catatan dengan label Petikan Al-Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petikan Al-Quran. Papar semua catatan

Rabu, 17 Julai 2013

Kematian itu pasti : kita hanya menunggu giliran



Makam Ayah dan Bonda


Hari ini dan malam ini, hidup ini sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian. Seorang demi seorang sahabat dan kenalan meninggalkan alam yang sementara ini. Sama seperti sebelumnya, ada yang seusia dan ada juga yang lebih muda. Sama ada sakit atau secara tiba-tiba, ia pasti menjemput sesiapapun.

Hari ini aku menerima berita tentang mereka, entah bila kalanya insan lain pula akan menerima berita tentang aku. Terdetik hati ini, memohon agar Allah mengambil nyawa ini dengan penuh pengampunan, kemuliaan dan juga kebaikan dengan kasih sayang-Nya. Kematian itu sesuatu yang haq, yang pasti akan datangnya dan cuma kita yang selalu mengabai dan melupakannya....


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Surah Ali Imran : 185

Suatu kematian, disebaliknya mengandungi kisah tentang kesabaran, ketabahan dan perjuangan meneruskan kehidupan. Mengimbas cerita silam, awal kehidupan ini ini dimulakan dengan cerita kesedihan dari kematian Mak dan Abah yang berselang dalam usia mahu menjadi remaja. Hidup memang perlu diteruskan, walaupun betapa peritnya terkapai-kapai mencari langkah memulakan kehidupan tanpa naungan kasih sayang ibu dan ayah. Tidak mudah sebenarnya bila jasad bermain dengan hati dan perasaan...

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Surah Al-Baqarah : 156

Talqin. Memahamkan dan memberi faham, mengajar atau memberi ingat kepada yang sudah dikuburkan atau masih hidup tentang permulaan perjalanan baru menuju negeri akhirat. Pada hari ini kamu mendengar talqin itu dibacakan kepada mereka, kelak bila tiba harinya talqin itu juga akan dibacakan kepada kamu. Semoga ketika itu, kita berada dalam keadaan yang benar bersedia serta diberi pengampunan oleh-Nya...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat  dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa,  Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan  siapa yang kecewa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar  amaran kepada orang yang masih hidup. 

Ingatlah! Bahawa  sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap kehadrat Allah Taala.

Wahai SAYA bin IBU SAYA, SAYA bin IBU SAYA, wahai SAYA bin IBU SAYA, hendaklah kamu  ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah. 

Ingatlah wahai SAYA bin IBU SAYA, apabila datang  kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir,  maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan  risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah  Taala. 

Apabila mereka menyuruh kamu duduk,  mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan  kamu?
Siapakah Nabi  kamu?
Apakah agama  kamu?
Apakah kiblat  kamu?
Siapakah saudara  kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa  bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab  soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah  tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab  begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan  solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah  saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha  illallah Muhammaddur rasulullah".

Wahai SAYA bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu,  inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan  dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah  wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya  mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira  segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada  syurga dan neraka adalah benar.

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan  semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami  ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah  Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera  kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah -mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami  Muhammad SAW.

Dunia ini hanya sementara, akhirat jua kekal kita di dalamnya,
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Surah Al-Ankabut : 64 

Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta. Yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk, yang memberi hidayah dan peringatan-Nya sama ada kamu sedar atau tidak. Moga kita akan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang dikasihi oleh-Nya.

Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba..
Petikan Syair Arab


Aku titipkan nukilan ini sebagai pedoman kepada diri dan sebagai ingatan kepada arwah Mak dan Abah, saudara mara, sahabat handai dan kenalan yang telah pergi meninggalkan aku terlebih dahulu juga kepada kalian yang membacanya semoga di dalam hati sentiasa mengingati mati.
Al-Fatihah


SHIMI
~ Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan ~
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~


Khamis, 27 Jun 2013

Aku suka menangis (kamu juga tidak perlu malu untuk menangis)...



Menangis bukan bermakna kamu lemah
Menangis bukan bermakna kamu telah menyerah kalah
Menangis bukan bermakna kamu hilang arah
Menangis bukan bermakna kamu ingin belas kasihan
Menangis bukan bermakna kamu derita


Crying Man
Kredit imej : Flickr Mr. Moog


Menangislah, jika ia bisa menenangkan jiwa
Menangislah, jika ia bisa melembutkan hati kerasmu
Menangislah, jika ia bisa melegakan perasaan
Menangislah, jika ia bisa menghilangkan rasa sedih
Menangislah, jika ia bisa menginsafkan diri


Menangis bukan milik si miskin kerana kemiskinannya, si kaya juga menangis di atas kekayaannya.
Tabah atau lemah bukan pengukur kenapa kamu menangis. Air mata tidak menjatuhkan kehebatan kamu.
Menangislah ketika kamu perlu menangis dan kepada siapa tujuan tangisanmu itu.


Dengan menangis aku dapat lebih memahami sesuatu dan semoga dari tangisan itu aku mendapat kebaikan dan bangkit untuk kejayaan serta kemenangan kehidupan. Tidak hanya satu tangisan yang sia-sia.....



Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
Surah At-Taubah : 82

Dan aku selalu pasti menangis bila mendengar lagu ini...





~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Selasa, 25 Jun 2013

Life, you meant to be...


Somebody to listen...

Dalam kehidupan, kita tidak akan mampu mengharunginya berseorangan. Kita sentiasa perlu teman untuk berinteraksi, teman untuk mendengar dan teman yang dapat memahami serta menerima kita seadanya. Teman berteman dengan seseorang yang mempunyai perasaan dan empati. Menenangkan bila rasa sedih, menceriakan dikala rasa gembira dan tempat untuk bersandar ketika lelah dalam perjalanan.

Sesungguhnya perjalanan hidup ini tidak mudah. Banyak onak dan duri yang harus diharungi. Kegelinciran dari laluan yang benar. Semua itu mengajar kita untuk tabah, berubah dan menghargai setiap apa yang ada.

Datang satu saat dimana Allah menyempitkan kehidupan kita, supaya kita tidak hanyut dalam kesenangan dan sombong dalam kehidupan.

Sesekali Allah uji kita, tapi kita berkata 'aku tidak pernah bahagia'.
Sesekali kita menangis, tapi kita berkata 'aku tidak pernah ketawa'.
Sesekali kita kecewa, tapi kita berkata 'aku tidak pernah berjaya'.

Datang satu masa dimana Allah melapangkan kehidupan kita, supaya kita lebih bersyukur kepada-Nya. Kepada-Mu Allah tempat aku berharap dan DIAlah sebaik-baik penolong.



Life doesn't give you the people you want, it gives you the people you need; to love you, to hate you, to make you, to break you and to make you the person you were meant to be...


Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Surah At-Talaq : 3




~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Khamis, 14 Mac 2013

280 D.U.M.R - Hidup perlu sentiasa lebih baik dan positif


Di Alam Tropika

Adakalanya kita tidak tahu apa langkah seterusnya dan bagaimana memilih jalan yang terbaik untuk kehidupan. Bukan buntu dan putus asa, cuma ia menjadi kosong. Tiada siapa yang memilih untuk gagal dan kecewa, walaupun adakalanya kegagalan untuk membuka jalan kepada lorongan kebaikan.

Hari ini mungkin tidak indah bersinar seperti semalam, mendung bukan bererti malang. Rentak hidup cuma jadi perlahan tapi nyaman sebagai persiapan ketika sinar kembali memancar semula.

Hidup perlu diteruskan walaupun ianya adakalanya sukar untuk dimengertikan. Redha-Nya selalu bersama kita, jika kita sentiasa mengingati-Nya dalam setiap masa. Yakinlah dan percayalah tanpa ada sedikit rasa ragu pun bahawa DIA berkuasa atas segalanya. DIA-lah yang mampu menukar yang baik menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik dalam hanya sekelip mata.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan
Surah Al-Insyirah : 5-6

Angan-angan adakalanya melenyapkan realiti memilih jalan kehidupan. Harapan palsu tanpa apa-apa usaha seperti berpaut pada dahanan yang rapuh. Carilah jalan keluar bermula dari bawah atau akarnya, nescaya rahmat hidayah Ilahi itu menyuluh diri ke arah jalan yang benar. Usahalah sehabis mungkin dari dalam diri dengan senjata doa yang jadi peneman, pendorong mencari redha DIA.


“Ya Allah, sampai saat ini aku masih belum menemui penyelesaian untuk masalah yang aku tanggung ini. Aku memohon dengan penuh harapan kepada-Mu supaya memberikan aku jalan yang terbaik. Tunjukkanlah aku jalan kebenaran, tunjukkanlah aku jalan kebaikan, tunjukkanlah aku jalan dan pilihan yang terbaik”

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, tiap masalah ada penyelesaiannya, tiap yang dirancang pasti ada keputusannya.

Positif perlu sentiasa ada dalam diri, yakinlah pada kuasa-Nya dan semoga mata hati diberi upaya untuk dapat melihat lorongan cahaya rahmat-Nya....


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Ahad, 10 Mac 2013

Suka dan Menyukai


Children Day Out at DR Congo


"Jika kita tidak dapat apa yang kita suka,
sukailah apa yang kita dapat"

Sedikit kata-kata, pendek dan ringkas tapi apa terkesan dijiwa.


Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Surah Ali-Imran : 145



~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~


Rabu, 30 Januari 2013

Nur Kasih : Dugaan, Cinta dan Hidup Sempurna



Awesome Creativity Photo


Dugaan hidup..
Datang dalam pelbagai bentuk dan cara,
Ada yang mudah untuk diatasi, sebilangannya amat payah untuk dihadapi.
Selalunya akal yang negatif menghakis pertimbangan fikiran yang positif.
Jiwa mendung dengan segala serabut perasaan.

Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Al-Baqarah : 29

Selalu didengar, selalu dikata, "Hidup perlu diteruskan, walau apa jua halangannya".
Ia tidak mudah, lebih-lebih lagi jika bermain dengan hati dan jiwa.
Tuhan tidak menjadikan kita semua sama, berbeza dari tiap segi akal, jiwa, hati dan budi.
Berbeza tidak bermakna tidak sehaluan dalam memenuhi tuntutan-Nya.
Hanya pada Dia Yang Satu tempat kita mengadu.


Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Al-Anbiyaa' : 35

Untuk keluar dari kepayahan dugaan, adakalanya amat menyakitkan. Meruntun jiwa dan perasaan.
Istiqamah dan doa jadi bekalan. Senjata terbaik pada diri.

Buatlah jika itu yang terbaik pada kamu, carilah redha-Nya
Pasti dan yakinlah bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu adalah ditakdirkan yang terbaik untuk diri
Dia menentukan dengan penuh pertimbangan kasih sayang,
Bukan seperrti kita yang penuh dengan kelemahan perasaan sebagai manusia


'Adam dan Aidil tak sama.
Kalau kita berikan air pada pokok ini, berbunga.
Kalau disiram pada pokok yang satu lagi, takkan berbunga bang.
Malah jadi layu. Sebab dia perlukan tanah kering untuk hidup subur.
Dia perlukan matahari, tapi kita beri air, bang....'
Petikan dialog Nur Kasih


Tanpa Dia, kita bukanlah sesiapa pun di dunia ini.......


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Jumaat, 11 Januari 2013

Jalan Kehidupan : Yang Dekat Semakin Jauh, Yang Jauh Semakin Dekat


Red Roses : Mawar Merahku



Hidup....
Jangan mudah menyerah kalah,
Jangan mudah berputus asa.

Hidup...
Kita sentiasa bertemu dengan kegagalan
Kegagalan yang mendewasakan kita dalam memilih jalan terbaik di masa hadapan


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Surah Al-Insyirah : 5-6

Yang mendamaikan kehidupan ini terlalu banyak tetapi kita tidak pernah peduli
Yang menjengkelkan kehidupan ini agak sedikit tetapi kita selalu ambil kira

Mensyukuri dengan apa yang dianugerahkan oleh-Nya adalah lebih baik
Dari mengeluh dan mengejar kepada sesuatu yang belum pasti terbaik untuk kita





Permulaannya,
kita perlu lebih positif dalam hidup,
mulakan hari dengan senyuman.....


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...