| SHIMI |

Memaparkan catatan dengan label Garis Masa Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Garis Masa Kehidupan. Papar semua catatan

Selasa, 10 Mei 2016

Kita Bina Hidup Ini




Sering kedengaran di corong radio IKIM.Fm, sangat menyentuh hati dan memberi inspirasi. Melihat kehidupan dalam satu perspekstif yang pelbagai dan matlamat sebenar kehidupan. Sajak berjudul Kita Bina Hidup Ini.



Kita bina hidup ini
dengan kecukupan bukan dengan kelebihan
dengan kejayaan bukan dengan kecemerlangan
dengan kemudahan bukan dengan kesenangan
dengan keperluan bukan dengan kemahuan
dengan kebaikan bukan dengan kesempurnaan
dengan kekayaan bukan dengan kemewahan
dengan kesediaan bukan dengan ketahuan.


Kita bina hidup ini
bukan dengan manisnya janji
tapi dengan pahitnya mengotakannya
bukan dengan indahnya kata
tapi dengan sukarnya menyuarakannya
bukan dengan tingginya darjat
tapi dengan payahnya memikulnya
bukan dengan banyaknya ilmu
tapi dengan kurangnya mendiamkannya
bukan dengan panjangnya nyawa
tapi dengan pendeknya mensia-siakannya.

Kita bina hidup ini
dengan mimpi menjadi nyata
bukan dengan nyata bertukar mimpi
dengan angan menjadi cita
bukan dengan cita bertukar angan
dengan beri menjadi jujur
bukan dengan jujur bertukar beri
dengan nokhtah menjadi langkah
bukan dengan langkah bertukar nokhtah.

Kita bina hidup ini
Bukan untuk terus hidup
Tapi untuk hidup seterusnya......


 
(Nukilan : Mustafa Shamsuddin, Amman Jordan
Berita Minggu, 14 Feb 2010)






SHIMI
~ Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan ~
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Khamis, 14 Mac 2013

280 D.U.M.R - Hidup perlu sentiasa lebih baik dan positif


Di Alam Tropika

Adakalanya kita tidak tahu apa langkah seterusnya dan bagaimana memilih jalan yang terbaik untuk kehidupan. Bukan buntu dan putus asa, cuma ia menjadi kosong. Tiada siapa yang memilih untuk gagal dan kecewa, walaupun adakalanya kegagalan untuk membuka jalan kepada lorongan kebaikan.

Hari ini mungkin tidak indah bersinar seperti semalam, mendung bukan bererti malang. Rentak hidup cuma jadi perlahan tapi nyaman sebagai persiapan ketika sinar kembali memancar semula.

Hidup perlu diteruskan walaupun ianya adakalanya sukar untuk dimengertikan. Redha-Nya selalu bersama kita, jika kita sentiasa mengingati-Nya dalam setiap masa. Yakinlah dan percayalah tanpa ada sedikit rasa ragu pun bahawa DIA berkuasa atas segalanya. DIA-lah yang mampu menukar yang baik menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik dalam hanya sekelip mata.

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan
Surah Al-Insyirah : 5-6

Angan-angan adakalanya melenyapkan realiti memilih jalan kehidupan. Harapan palsu tanpa apa-apa usaha seperti berpaut pada dahanan yang rapuh. Carilah jalan keluar bermula dari bawah atau akarnya, nescaya rahmat hidayah Ilahi itu menyuluh diri ke arah jalan yang benar. Usahalah sehabis mungkin dari dalam diri dengan senjata doa yang jadi peneman, pendorong mencari redha DIA.


“Ya Allah, sampai saat ini aku masih belum menemui penyelesaian untuk masalah yang aku tanggung ini. Aku memohon dengan penuh harapan kepada-Mu supaya memberikan aku jalan yang terbaik. Tunjukkanlah aku jalan kebenaran, tunjukkanlah aku jalan kebaikan, tunjukkanlah aku jalan dan pilihan yang terbaik”

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, tiap masalah ada penyelesaiannya, tiap yang dirancang pasti ada keputusannya.

Positif perlu sentiasa ada dalam diri, yakinlah pada kuasa-Nya dan semoga mata hati diberi upaya untuk dapat melihat lorongan cahaya rahmat-Nya....


~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Ahad, 20 Januari 2013

Janji Ditepati : Kejujuran Diutamakan


Table Mountain from Kinkole River View DR Congo


Ia melibatkan hati dan perasaan. Kepercayaan dalam satu hubungan suci yang merangkak melepasi garis masa kehidupan.

"Sayang hanya minta kejujuran hati abang. Tiada yang lain dari itu".

Aku mengiyakan permintaannya dengan kerdipan mata dan lontaran suara. Permintaan yang tidak sukar dari segi material, tapi jadi payah jika hati dan perasaan tidak menyatu.

Itu permintaan pada harijadi dia. Itu perjanjian hidup dan mati kami bersama.
Itulah ikatan jiwa pada tahun ke-13 kami disatukan.

Banyak yang telah kami lalui bersama. Perasaan yang bercampur baur mengisi perjalanan itu.

Jujur adalah kunci pada segalanya.
Aku renung dalam-dalam, mencari jujur itu jauh dalam sanubari, untuk digilap agar ia lebih bercahaya menerangi perjalanan kami menuju ke dekad seterusnya.





~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...