"Cubaan hidup hanya umpama segenggam
serbuk kopi ditangan", itu yang aku dengar melalui rancangan bual bicara
selepas Maghrib tadi.
Satu kisah yang mungkin biasa didengar, cukup bermotivasi serta memberi inspirasi.
Kisahnya.
Ada
seorang pemuda yang selalu merungut dengan masalah yang melanda
dirinya. Dia merasakan bahawa dialah orang yang paling malang di dunia.
Maka dia pun berjumpa dengan seorang ulama dengan tujuan untuk meminta
pandangan dan pertolongan.
Dia
terus merungut dan merungut bila berdepan dengan ulama itu sambil
bercerita tentang nasib malangnya. Dia terus merungut dan merungut serta berkata, "Adakah Tuhan sudah tidak menyayangi aku lagi atau sudah melupakan aku dengan berbagai cubaan kepadaku".
Sambil tersenyum, ulama itu membawa
kepada dia serbuk kopi dan segelas air. Lalu dia berkata, "Ambillah akan
dikau segenggam serbuk kopi ini dan bancuhlah ke dalam air yang aku
sediakan". Lalu pemuda itu pun melakukan seperti yang disuruh. Ulama itu
meminta pemuda meminumnya dan bercerita tentang rasanya.
Ulama itu bertanya, "Apakah rasa air ini?". Pemuda itu menjawab dan meluahkan apa yang diminumnya tadi, "Sangat pahit".
Lantas
sang ulama itu berkata kepada pemuda itu lagi, "Marilah ikut akan aku
dan bawakan segenggam serbuk kopi lagi". Pemuda itu menurutnya hingga ke
telaga yang berada ditepi rumah ulama itu. "Sekarang kau campak serbuk
kopi itu ke dalam telaga, kacau airnya dan rasa", ujar ulama itu kepada
pemuda.
Maka
setelah pemuda itu meminum air telaga tadi, ulama itu pun bertanya, "
Apakah rasanya air ini?". Pemuda itu menjawab, "Enak dan sungguh menyegarkan
rasanya".
Maka
ulama tadi menerangkan kiasan di sebalik perbuatan yang disuruhnya
kepada pemuda tadi. "Masalah dan cubaan yang datang dalam hidup kamu adalah umpama segenggam kopi yang kau ambil tadi. Sukatannya tetap sama
dengan segenggam serbuk kopi. Cuma yang membezakan rasa air itu adalah
bekasnya. Bekas itu adalah umpama jiwa dan hati kamu. Jika hati, jiwa
dan penerimaan kamu sekecil gelas, maka sukarlah kamu akan rasa bagi
setiap dugaan yang datang. Tetapi jika hati, jiwa dan penerimaan kamu besar umpama telaga tadi, maka kamu hadapinya dengan redha tanpa rasa-apa bebanan.
Pemuda itu diam dan mengisafinya
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ujian dan dugaan itu datang untuk menguatkan kita dan membina ketahanan diri. Allah tidak membenci, tetapi dugaan tidak akan datang tanpa ganjaran yang tidak dapat digambarkan manafaatnya. Dugaan menjadikan kita ke tahap yang lebih baik, membersihkan jiwa dan belajar bersabar. Pada pandangan orang yang miskin, ujian padanya adalah dengan kemiskinan. Tetapi bagi orang kaya pula, kekayaannya
menjadi ujian buat dirinya atau berbagai bentuk dugaan lagi seumpamanya. Adakalanya Allah menjawab doa dan harapan kita dengan syurga-Nya
Kita hanya insan kecil dalam golongan jutaan insan lain. Jika kamu susah, ada yang lebih merasa beban dari kamu. Kepada Dia kita harus sentiasa bersyukur.....
Buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya serta kewarasan.
Apakah benar Allah meninggalkan kita?
Jadi bagaimanakah kita?
Hakikatnya, Allah tidak pernah meninggalkan kita.
Tetapi hamba-hambaNya lah yang sering meninggalkan Dia.
Kita berada pada golongan yang mana?
Yang percaya? Atau yang meninggalkanNya?
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu
dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu
semua akan dikembalikan"
Al-Anbia : 35
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang
terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia
juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan
berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah
jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau
bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau
bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami,
dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
Al-Baqarah : 286
SHIMI
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~
~ Goods come from Allah, the worse from my own weakness ~