Hari ini dan malam ini, hidup ini sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian. Seorang demi seorang sahabat dan kenalan meninggalkan alam yang sementara ini. Sama seperti sebelumnya, ada yang seusia dan ada juga yang lebih muda. Sama ada sakit atau secara tiba-tiba, ia pasti menjemput sesiapapun.
Hari ini aku menerima berita tentang mereka, entah bila kalanya insan lain pula akan menerima berita tentang aku. Terdetik hati ini, memohon agar Allah mengambil nyawa ini dengan penuh pengampunan, kemuliaan dan juga kebaikan dengan kasih sayang-Nya. Kematian itu sesuatu yang haq, yang pasti akan datangnya dan cuma kita yang selalu mengabai dan melupakannya....
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.Surah Ali Imran : 185
Suatu kematian, disebaliknya mengandungi kisah tentang kesabaran, ketabahan dan perjuangan meneruskan kehidupan. Mengimbas cerita silam, awal kehidupan ini ini dimulakan dengan cerita kesedihan dari kematian Mak dan Abah yang berselang dalam usia mahu menjadi remaja. Hidup memang perlu diteruskan, walaupun betapa peritnya terkapai-kapai mencari langkah memulakan kehidupan tanpa naungan kasih sayang ibu dan ayah. Tidak mudah sebenarnya bila jasad bermain dengan hati dan perasaan...
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”Surah Al-Baqarah : 156
Talqin. Memahamkan dan memberi faham, mengajar atau memberi ingat kepada yang sudah dikuburkan atau masih hidup tentang permulaan perjalanan baru menuju negeri akhirat. Pada hari ini kamu mendengar talqin itu dibacakan kepada mereka, kelak bila tiba harinya talqin itu juga akan dibacakan kepada kamu. Semoga ketika itu, kita berada dalam keadaan yang benar bersedia serta diberi pengampunan oleh-Nya...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang
berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Maha Suci Tuhan yang
menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang
kecewa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur
sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai,
dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan
binasa,melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa
menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap kehadrat Allah
Taala.
Wahai SAYA bin IBU SAYA, SAYA bin IBU SAYA, wahai SAYA bin IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah
yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan
sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu
Pesuruh Allah.
Ingatlah wahai SAYA bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2
orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka
janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita
dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.
Ketahuilah wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan
Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.
Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu. Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".
Wahai SAYA bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan
yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal
didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu
akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai SAYA bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah
benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah
benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula
adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar,
dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air
nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.
Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang
menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah -mudahan Allah Taala
menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada
kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur
ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan
kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.
Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak
disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.
Dunia ini hanya sementara, akhirat jua kekal kita di dalamnya,
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).Surah Al-Ankabut : 64
Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta. Yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk, yang memberi hidayah dan peringatan-Nya sama ada kamu sedar atau tidak. Moga kita akan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang dikasihi oleh-Nya.
Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba..Petikan Syair Arab
Aku titipkan nukilan ini sebagai pedoman kepada diri dan sebagai ingatan kepada arwah Mak dan Abah, saudara mara, sahabat handai dan kenalan yang telah pergi meninggalkan aku terlebih dahulu juga kepada kalian yang membacanya semoga di dalam hati sentiasa mengingati mati.
Al-FatihahSHIMI
~ Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan ~
~ Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri ~